Mutakhir ini, arus globalisasi yang
semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan
seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi
ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami
masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada
dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai
kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita
ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan
yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang
semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.
Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak
kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang
termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari
undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju
kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu
dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya
lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah
terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap
sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis
kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan
turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem
penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan
gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar
haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk
menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran
ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang
menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan
mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap
individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan
menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan
cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang
lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan awan perlu
dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada
fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini
memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan
terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan
menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini
tidak dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais
kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan
terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan
jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada
suhu bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan
jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi,
justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.
Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani
fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka
tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak
formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai
kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka
yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu
memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai
dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam
kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”. Berpegang pada prinsip “bagaimana
acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa
sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk
keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam,
ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti
nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa
anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam
memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk
membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam
kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan
didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu
mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan
bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam
usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka
menjadi penentu sahsiah generasi muda.
Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan
pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang
disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah
bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan
merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan
implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang
pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang
melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan menguatkuasakan
undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.
Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak
membakar sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang
dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada
jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada
pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah
paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam
aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan di
sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada masayarakat, masalah
jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi menjadi bubur.
Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia.
Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam
mengatasi masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah
jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu
masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang
sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan
masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan
bersama.
0 comments:
Post a Comment